BANGKOK – Seorang kanak-kanak berumur dua tahun dimasukkan ke hospital selepas secara tidak sengaja memakan 10 biji gula-gula kenyal (gummy) bercampur ganja, lapor akhbar Bangkok Post.
Perkara itu dikongsikan oleh bapa mangsa di media sosial kelmarin.
Pada hari kejadian, seorang guru memberitahu bapanya bahawa mangsa mengantuk di dalam kelas dan enggan makan tengah hari.
Bapa saudara gadis terbabit segera membawanya ke hospital, namun doktor gagal menemukan punca keadaannya sedemikian.
Situasi sebenar bagaimanapun terbongkar apabila ahli keluarga mangsa bertanya kepada tetamu yang menghadiri majlis ulang tahun kelahiran di rumah mereka, Selasa lalu.
“Sepasang suami isteri mengaku membawa gula-gula berbentuk beruang mengandungi ganja semasa majlis tersebut.
“Jumlah yang dimakan oleh anak saya adalah 10 biji,” kata bapa mangsa.
Gadis kecil itu tidak sedarkan diri selama 24 jam semasa menerima rawatan di hospital. Dia dibenarkan keluar pada Jumaat lalu tetapi dimasukkan semula akibat demam panas dan halusinasi yang berterusan.
Pasangan itu diminta untuk bertanggungjawab oleh ibu bapa mangsa termasuk membayar lebih 50,000 baht (RM6,505) untuk kos perubatan. – AGENSI