KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dalam satu pergaduhan di tepi jalan di Sentul, dua bulan lalu.
Tertuduh, K. Nagentheran, 39, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret M. S. Arunjothy, namun tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Nagentheran didakwa membunuh K. Kumaran, 44, di tepi jalan di Taman Intan Baiduri, Sentul, di sini pada pukul 9.23 malam pada 25 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 10 September depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Mohd. Yunus Daud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, mangsa yang juga bekerja sebagai pengawal keselamatan dibunuh tertuduh akibat perselisihan faham.
Ketua Polis Sentul, Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, siasatan awal mendapati mangsa ke sebuah kuil, sebelum minum bersama sekumpulan lelaki di depan rumah ibadat itu.
“Difahamkan berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek sebelum suspek beredar dan kembali semula untuk menetak mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE