KUALA LUMPUR – Ibu kota akan diperindah bagi memberikan imej terbaik sepanjang Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 yang akan bermula esok.
Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, semua pihak perlu menjaga kebersihan bandar raya ini.
Katanya, tanggungjawab itu bukan hanya digalas pihak berkuasa tempatan sebaliknya turut menjadi peranan bersama komuniti dan orang awam.
“Kita mahu semangat tanggungjawab bersama diterapkan dalam menjaga imej bandar raya.
“Pelbagai usaha sedang dijalankan bagi memastikan aspek kebersihan, keselesaan bandar dan keselamatan berada pada tahap terbaik sepanjang berlangsungnya sidang berprestij itu,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Dapur Digital Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2025, hari ini.
Menurut Zaliha, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bersama pelbagai agensi dan pihak berkepentingan bagi menyelaras keperluan operasi dan persiapan bandar raya, termasuk di kawasan strategik sekitar ibu negara.
“Itu menjadi satu keutamaan kerana Kuala Lumpur adalah antara lokasi utama pelaksanaan mesyuarat bertaraf antarabangsa dan kita ingin memastikan imej negara ditampilkan dengan baik.
“Justeru, aspek logistik yang berkaitan dengan kebersihan, keindahan bandar dan keselamatan diberi perhatian serius,” katanya.
Malaysia kini memegang kerusi Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, dengan AMM ke-58 menjadi antara acara pertama yang mencorak imej dan komitmen negara dalam hal ehwal serantau, menjadikan persiapan rapi di Kuala Lumpur sebagai aspek penting yang diberi perhatian kerajaan. – KOSMO! ONLINE