SEREMBAN – UMNO diingatkan agar tidak terus terperangkap dalam politik nostalgia, sebaliknya mula bersikap lebih dinamik dan realistik dalam menghadapi landskap politik semasa yang semakin kompleks.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, zaman UMNO menguasai politik negara secara mutlak sudah berlalu dan pendekatan lama tidak lagi berkesan dalam membina sokongan rakyat terutama pengundi muda.
“Selagi kita masih berpolitik nostalgia, kita akan nostalgia sampai bila-bila. Kita dulu ada majoriti. 11 pilihan raya kita menang dua pertiga. Selepas itu dua Pilihan Raya Umum (PRU) kita dapat majoriti mudah. Sekarang, kita kalah dua kali berturut-turut, tapi masih ada kerusi dan berkongsi kuasa dalam kerajaan.
“Kita tak boleh lagi fikir hanya kita seorang ada kuasa. Hari ini, keadaan menuntut kita berkongsi kuasa. Realitinya, sukar nak dapat majoriti mutlak kerana ideologi berbeza, pengundi pula semakin pelbagai dari segi pemikiran mereka,” katanya pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Seremban di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Titiwangsa itu memberikan contoh parti Pas yang menurutnya menunjukkan keupayaan politik dinamik dalam pilihan raya, apabila menggunakan logo berbeza mengikut kesesuaian kawasan.
Dalam masa sama, Ketua UMNO Titiwangsa itu mengakui banyak perkara UMNO perlu pelajari dalam realiti politik hari ini, termasuk dalam aspek perkongsian kuasa.
“Bila kongsi kuasa, kita tak boleh (ada) perangai macam kita masih ada kuasa penuh. Kita kena ada pertimbangan terhadap parti lain kerana berbeza ideologi, “katanya.
Kata Menteri Perladangan dan Komoditi itu, tanpa kestabilan politik, negara akan terus berhadapan dengan ketidakpastian ekonomi dan pelabur asing akan hilang keyakinan. – KOSMO! ONLINE