KUALA LUMPUR – Saingan Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark tahun depan dianggap sebagai peluang terbaik buat skuad badminton negara menamatkan kemarau lebih tiga dekad untuk menjulang trofi keramat tersebut.
Pemenang Piala Thomas 1992 , Datuk Rashid Sidek menyuarakan keyakinan Malaysia mampu mengulangi pencapaian itu berdasarkan senarai pemain yang ada pada ketika ini dilihat lebih stabil.
Perkara itu dianggap realistik berdasarkan prestasi semasa dipamerkan pemain-pemain negara sehingga memiliki dua beregu lelaki terbaik dunia menerusi Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
“Kalau kita nak ambil semula Piala Thomas, inilah masanya. Pasukan kita nampak lebih stabil berbanding beberapa tahun lalu. Sekarang kita ada dua perseorangan lelaki yang mantap, iaitu Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao.
“Beregu lelaki kita juga sudah semakin konsisten. Kalau semua dapat kekalkan prestasi, maka peluang kita sangat cerah untuk kembali mendapatkan trofi Piala Thomas,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani pelancaran filem Sentuhan Wira di sini, hari ini.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memenangi Piala Thomas adalah pada edisi 1992 yang berlangsung di Stadium Negara, Kuala Lumpur selepas menewaskan Indonesia 3-2 dengan Rashid turut menjadi watak penting dalam final bersejarah itu.
Pada ketika ini, China masih kekal menjadi pasukan terkuat dalam saingan Piala Thomas apabila sudah menjulang trofi berkenaan sebanyak 11 kali selain memegang status sebagai juara bertahan.
Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan itu juga berharap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta semua pihak berkaitan dapat mengekalkan momentum selain memastikan pemain-pemain berada pada tahap terbaik dari segi fizikal dan mental.
“Kejohanan berpasukan seperti Piala Thomas bukan soal siapa paling kuat sahaja, tetapi siapa yang bersatu. Kalau kita benar-benar bersedia, saya yakin kita mampu ulang sejarah,” ujar Rashid. – KOSMO! ONLINE