MANCHESTER – Manchester United dilaporkan telah membuat langkah awal untuk mendapatkan pemain tengah bertahan Inter Milan, Davide Frattesi selepas kelab Serie A itu menurunkan harga bintangnya daripada €50 juta (RM254 juta) kepada €35 juta (RM178 juta).
Menurut sumber, United bersama beberapa kelab lain termasuk Tottenham Hotspur, Atletico Madrid dan AS Roma sedang memantau perkembangan pemain antarabangsa Itali itu pada jendela perpindahan musim panas ini.
Pemain berusia 25 tahun itu masih belum membuat keputusan muktamad mengenai masa depannya di San Siro dan dia difahamkan mahu mempertimbangkan semua pilihan sebelum mengambil langkah seterusnya.
“Kelab Liga Perdana telah memantau Frattesi sejak sekian lama dan kini harganya telah turun dari €50 juta (RM254 juta) kepada sekitar €35 juta (RM178 juta),” menurut sumber.
Bagaimanapun, tiada sebarang rundingan rasmi atau tawaran yang dikemukakan setakat ini, walaupun United dikatakan telah menghubungi Inter bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang potensi perpindahan.
Difahamkan, Inter juga bersedia untuk melepaskan pemain itu sekiranya mendapat tawaran yang sesuai.
Frattesi dilihat sebagai calon ideal untuk posisi berkenaan ekoran prestasi tidak konsisten yang dipamerkan oleh Casemiro dan Manuel
Ugaerte, namun United turut mempertimbangkan peluang menandatangani pemain Bayern Munich, Joao Palhinha dan pemain muda Crystal Palace, Adam Wharton. – AGENSI