KUALA LUMPUR – Seorang eksekutif teknologi maklumat (IT) warga China didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini keana menipu dalam urusan jual beli jam tangan mewah jenama Rolex bernilai lebih RM140,000 bulan lalu.
Tertuduh, Wu Zhiwei, 27, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Azrul Darus.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.
Zhiwei yang baru bekerja di ibu negara bulan lalu didakwa menipu seorang jurujual jam tangan berusia 25 tahun sehingga mendorong mangsa menyerahkan tiga utas jam tangan Rolex iaitu dua model Datejust 41 dan satu Black Submariner bernilai RM146,657.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran di Jalan Khoo Teik Ee, Dang Wangi pada 4 dan 16 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Semasa prosiding, peguam Tan Cheng Yee merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya tiada rekod jenayah dan reman selama lima hari yang dianggap memberi pengajaran bermakna.
“Anak guam saya menanggung ibu bapa yang sudah tua, menyesali perbuatannya dan mohon hukuman diringankan,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Wafa Zainal Abidin memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam.
Menurut Wafa, mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam terutama mangsa yang mengalami kerugian besar melebihi RM100,000. – KOSMO! ONLINE