BAb pertama yang hinggap di fikiran kami adalah mabuk laut. Bab yang lain akan datang kemudian. Ada yang sudah mempunyai peralatan mencandat dan ada joran pun tak kenal.
Setelah perbincangan demi perbincangan dibuat, kami semua mencapai kata sepakat, ‘jadi’. Ustaz Ihsan dilantik menjadi penyelaras trip, manakala Sulaiman yang berpengalaman dalam mencandat dilantik sebagai pengarah teknikal yang bertanggungjawab dalam urusan tempahan bot, pembelian peralatan mencandat dan pemilihan tarikh bersesuaian.
Setelah tempahan bot dibuat, bermulalah bab mencari peralatan ‘perang’. Disebabkan ramai yang tidak arif tentang peralatan mencandat, maka kami ikut sahaja apa peralatan disyorkan oleh Sulaiman.
Candat jenama Duel No. 15 dan 23 berwarna ungu dan kuning menjadi pilihan kami, di samping perambut Zenith 10 paun (lb) serta pemberat jenama Yamashita 75g.
Trip ini disertai oleh Ustaz Ihsan, Shafwan, Lokman, Fikri, Ahmad Ridhuan, Sulaiman, Khairul, Hilmi dan Nasron.
Perjalanan mengambil masa lebih kurang enam jam dan kami tiba di Kuala Terengganu pada pukul 10.30 pagi. Kami sempat bersarapan di Nasi Dagang Atas Tol yang viral.
Setelah itu, kami menuju ke rumah penginapan yang terletak di Seberang Takir bagi merehatkan diri seketika dan memasang kelengkapan mencandat.
Perjalanan ke jeti hanya mengambil masa lebih kurang 15 minit. Setelah tiba di jeti, kami mula memunggah barang-barang dan peralatan ke dalam bot fiber sepanjang 42 kaki.
Cuaca cerah dan arus yang tidak begitu laju memberikan petanda positif serta menjanjikan sesuatu, walaupun ada petanda ribut di perairan Terengganu pada malam hari apabila merujuk kepada Google.
Tepat pukul 6 petang, bot kami mula menyusuri Kuala Seberang Takir dan melalui laluan bawah jambatan angkat yang menjadi salah satu tarikan pengunjung ke Kuala Terengganu.
Setelah dua jam perjalanan, kami berlabuh di lokasi pertama. Masing-masing sudah tidak dapat menahan diri dan mula menghulurkan candat. Cuaca yang baik dengan keadaan arus perlahan memudahkan kami menurunkan candat tanpa sebarang masalah.
Setelah menunggu 15 minit, Lokman berjaya menaikkan sotong pertama. Kemudian diikuti dengan Khairul dan Shafwan.

Keadaan mula menjadi meriah dengan Ustaz Ihsan, Nasron dan Ahmad Ridhuan, masing-masing berjaya mendaratkan sotong dengan jayanya meskipun baru pertama kali turun mencandat.
Kegembiraan jelas terpampang di wajah Fikri, di mana dia berjaya mendaratkan lima ekor sotong dalam masa tak sampai 15 minit dengan menggunakan joran yang baru dibelinya.
Dalam kemeriahan menaikkan sotong, kami perasan ada pancaran kilat terlihat di kejauhan. Terdetik di hati, adakah ramalan Google itu tepat dan kami akan dilanda ribut laut?
Ribut
Tidak sampai sejam, angin mula bertiup kencang. Hujan mula turun dan lautan semakin bergelombang. Masing-masing mula menaikkan candat dan mengemas peralatan. Keadaan bot teroleng-oleng menandakan arus semakin laju dan gelombang mula meninggi.
Tekong mengarahkan kami semua masuk ke dalam kabin (bilik kecil di dalam bot) secepat mungkin. Peralatan diletakkan di bahagian bumbung bagi mengelakkan terpijak mata candat yang tajam.
Tekong dan pembantu tekong bertungkus lumus bergerak di sekitar bot untuk mengemudi dan mengimbangi gelombang yang semakin bergelora.
Hujan turun mencurah-curah. Keadaan menjadi kelam-kabut dan masing-masing merasa agak cemas kerana pertama kali berhadapan dengan ribut laut.
Dari dalam kabin, kami dapat melihat dengan jelas keadaan angin yang bertiup kencang dan gelombang menghempas bahagian belakang bot.
Kami menghabiskan masa untuk tidur-tidur ayam bagi menunggu ribut kembali reda. Sejam berlalu dan hujan mula perlahan, namun gelombang masih lagi kuat. Belum menampakkan
tanda-tanda untuk reda. Tidak berapa lama kemudian, hujan berhenti dan gelombang mulai reda tapi bot masih lagi kuat teroleng-oleng.
Kami semua keluar dari kabin dan meneruskan aktiviti mencandat. Memandangkan gelombang masih belum reda sepenuhnya, sotong agak sukar diperolehi.
Sulaiman berjaya menaikkan beberapa ekor sotong setelah sejam mencandat. Jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Perasaan mengantuk mula menguasai kami. Dengan tak semena-mena hujan turun mencurah-curah lagi.
Tanpa membuang masa, kami semua masuk sekali lagi ke dalam kabin. Nasib kami agak baik kerana hujan turun hanya sekejap walaupun arus masih lagi deras. Shafwan, Nasron dan Ustaz Ihsan kembali mencandat.
Dek kerana arus yang masih deras dan tidak menunjukkan sebarang tanda untuk reda serta ditambah lagi sotong semakin kurang, kami sepakat untuk kembali ke jeti dan menamatkan trip kali ini.
Pada pukul 6.40 pagi, kami tiba di jeti. Setelah pembahagian hasil tangkapan dibuat, kami bertolak pulang ke ibu kota. Alhamdulillah, trip ini boleh dikatakan berjaya kerana tiada seorang pun mabuk laut, meskipun ada yang baru pertama kali turun mencandat.














