MUNCUL hanya sebagai penyanyi jemputan pada konsert GenKRU yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil untuk empat malam pada Mei lalu adalah pemulaaan segala-galanya.
Tiada siapa menyangka, hanya menyanyikan sebuah lagu, nama Elite terus meledak dalam media sosial sehingga ramai mula menyuarakan hasrat untuk melihat lima ahli kumpulan tersebut muncul dalam sebuah konsert solo.
Sejak detik itu, lagu-lagu ikonik Elite seperti Tamparan Wanita, Trauma dan G.I.G yang popular sekitar 1990-an kembali tular dalam media sosial baru-baru ini.
Ternyata, penganjur acara, Icon Entertainment yang diterajui Iman Tang tidak menunggu masa lama untuk melamar Elite dengan mengadakan sebuah konsert istimewa khusus buat para peminat mereka.
Acara yang dijangka mencatat sejarah istimewa buat Elite tersebut akan diadakan di Dewan Plenari, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 20 September depan.
Dinamakan sebagai Elite Live’25, konsert tersebut akan menggabungkan lima anggota asal Elite iaitu Linda Rafar, Azza, Shasha Saidin, Abby Abadi dan Watie Sadali.
Menyambut baik tawaran Icon Entertainment, Linda berkata, meski teruja dengan idea tersebut, mereka tidak terburu-buru untuk menyatakan persetujuan sebaliknya berbincang terlebih dahulu kerana memikirkan kemampuan dan komitmen yang perlu diberikan.
“Memang kami seronok sebab ini adalah konsert solo pertama berskala besar dalam tempoh 30 tahun penubuhan Elite.
“Namun, kami tak tergopoh-gapah berkata ya , kami berbincang dahulu sebab ini satu tanggungjawab besar. Tak mahu buat sesuatu yang sampai memalukan diri sendiri.
“Kami terima pelawaan Iman sebab yakin dengan kemampuan Icon bahawa konsert ini akan memberi kepuasan kepada peminat,” katanya kepada HibGlam.
Kongsinya, sambutan hebat peminat selepas kemunculan mereka pada konsert GenKRU juga antara sebab utama mereka bersetuju untuk mengadakan sebuah konsert.
“Sebenarnya kami bimbang juga memikirkan banyak perkara apatah lagi Elite sudah lama tidak melakukan persembahan pentas apatah lagi dalam konsert berskala besar.
“Namun, keputusan ini dibuat selepas melihat lagu-lagu kami masih relevan, menjadi siulan ramai.
“Kalau boleh kami mahu berpesta dengan peminat setia selain meraikan peminat yang baru mengenali kami,” katanya lagi.
Bagi Azza pula, persetujuan untuk mengadakan konsert itu juga termasuk keterbukaan mereka menerima segala pandangan negatif daripada orang ramai yang akan mempertikaikan pelbagai aspek termasuk kualiti vokal dan kelincahan mereka di pentas kelak.
Baginya, konsert bukan platform persaingan sesama sendiri, sebaliknya fokus menghiburkan peminat yang sudah lama menantikan kemunculan mereka dengan konsert solo sendiri.
“Kami cuma nak hiburkan peminat dengan lagu-lagu Elite. Saya peminat pun sedar kebolehan dan kemampuan kami.
“Kalau ada yang ‘bitter’, itu perkara normal dan kami terima dengan hati terbuka tetapi paling penting ini peluang Elite mahu hargai peminat yang sentiasa bersama kami selama ini,” ujarnya.
Shasha yang kini menetap di Dubai pula memberitahu mereka akan mendendangkan sebanyak 20 buah lagu yang dipilih daripada tujuh buah album mereka sebelum ini.
“Buat masa sekarang kami cuba untuk menurunkan berat badan supaya dapat mengekalkan stamina di atas pentas.
“Namun, kami tak mahu terlalu obses untuk kurus. Paling penting jaga pemakanan dan diet yang sihat,” ujarnya.
Shasha atau nama penuhnya Shasha Mohd. Saidin berharap konsert berkenaan bakal mengubat rindu peminat yang mahu melihat mereka beraksi di pentas besar.
“Kami yakin peminat setia akan hadir. Mereka bukan minat suara sahaja tetapi tarian dan stail Elite.
“Yang bagi komen negatif hanya segelintir, mana mungkin semua orang sukakan kami tetapi hakikatnya konsert ini ramai peminat Elite yang minta,” tuturnya.
Catwalk
Sementara Iman memberitahu pihaknya akan meraikan semua penonton dengan acara karpet merah di luar dewan.
“Konsert bakal bertemakan ‘catwalk’ dan kami akan sediakan laluan karpet merah di luar dewan untuk menyambut semua penonton yang hadir,” ujarnya.
Katanya, perancangan untuk mengadakan konsert Elite sudah lama diimpikan dan konsert GenKRU adalah kemuncak bagi merealisasikan agenda itu.
“Sudah lama saya fikir lama tetapi impaknya pada hari pertama Elite muncul di konsert GenKRU. Saya mahu naikkan artis tempatan dengan acara sebegini dan bangga melihat konsert GenKRU jadi fenomena,” jelasnya.
Iman berkata, pihaknya masih belum mempunyai kata putus mengenai segmentasi bagi konsert tersebut.
“Ada perancangan untuk artis jemputan tetapi itu bukan kiblat pertama kami, paling utama adalah persembahan Elite. Segmen juga belum ‘finalized’ lagi, jangan risau kami
akan hidangkan sesuatu yang istimewa kepada semua,” jelasnya lagi.