fbpx

Stor rokok dan arak seludup diserbu, rampasan lebih RM4 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing antara lima individu yang diberkas dalam serbuan ke atas stor dan premis dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan serta pengedaran rokok dan minuman keras tidak berkastam di sekitar Kuching, Sarawak semalam.

Serbuan bersepadu itu melibatkan rampasan barangan bernilai lebih RM4 juta hasil pelaksanaan Op Taring 1 dan Op Taring 2 yang dijalankan hasil risikan utama oleh Wildlife Crime Bureau / Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, kesemua lima suspek yang ditahan berusia antara 19 hingga 30 tahun.

“Antara barangan yang dirampas ialah 31,740 liter minuman keras, 280,000 batang rokok putih dan 6,000 batang rokok kretek disyaki tidak berkastam.

“Turut dirampas tiga buah lori jenis Toyota Dutro, Isuzu dan Hino bersama anak kunci,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azmi, kegiatan tersebut berpotensi menjejaskan keselamatan sempadan negara sekiranya tidak dibanteras segera.

“Kegiatan penyeludupan, pengedaran dan penjualan rokok serta minuman keras tidak berkastam merupakan ancaman kepada ekonomi dan pendapatan negara.

“Tindakan dan siasatan kes ini dijalankan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Sementara itu, Azmi memaklumkan seramai 233 individu telah berjaya ditahan menerusi 153 serbuan oleh WCB/PSK Jabatan KDNKA Bukit Aman di seluruh negara sejak 1 Januari lalu.

“Antara kesalahan melibatkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar serta operasi e-waste.

“Nilai keseluruhan rampasan bagi tempoh berkenaan dianggarkan mencecah RM433,351,837.61,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI