ASSEN – Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, Carmelo Ezpeleta menegaskan Jorge Martin tidak dibenarkan berlumba dengan mana-mana pasukan pada musim 2026 selagi isu kontraknya bersama Aprilia belum diselesaikan secara rasmi.
Isu tersebut dibangkitkan selepas pengurus Martin, Albert Valera mendakwa pelumba Sepanyol itu kini ‘bebas kontrak’ selepas mengaktifkan klausa pelepasan dalam perjanjiannya bersama Aprilia terutama mengenai prestasi semasa.
Bagaimanapun, Aprilia segera tampil mempertahankan pendirian mereka bahawa kontrak juara dunia itu masih sah sehingga hujung musim 2026 dan perlu dihormati sepenuhnya oleh kedua-dua pihak.
Ezpeleta memberi sokongan penuh kepada Aprilia dengan menyatakan Dorna tidak akan membenarkan kemasukan mana-mana pelumba yang masih terikat dengan pasukan asal mereka.
“Jika dua pihak bersetuju untuk menamatkan kontrak, ia boleh dilakukan. Jika hanya satu pihak bersetuju untuk tamatkan kontrak, maka mahkamah perlu tentukan.
“Kami di Dorna tidak akan benarkan mana-mana pelumba menyertai kejohanan ini sekiranya tiada penyelesaian rasmi sama ada melalui persetujuan bersama atau keputusan mahkamah,” kata Ezpeleta.
Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia Racing, Massimo Rivola tampil menyokong Ezpeleta dengan menyatakan Martin masih terikat secara sah dengan pasukan itu.
“Kedudukan kami masih sama. Jorge (Martin) masih pelumba kami. Seperti yang dinyatakan Carmelo, jika kontrak tidak dibatalkan, dia tidak boleh ke mana-mana,” jelas Rivola.
Satu-satunya pilihan berpotensi buat Martin musim depan adalah Honda yang masih belum menamakan pelumba untuk digandingkan bersama Joan Mir.
Walaupun isu kontrak semakin panas, Martin dijangka kembali beraksi dalam masa terdekat selepas pulih daripada kecederaan yang memaksanya terlepas sembilan daripada sepuluh pusingan musim ini. – AGENSI