PUTRAJAYA – Disebabkan kerjaya sebagai seorang anak wayang dan ikon fesyen, Scha Alyahya mengakui dia memiliki banyak pakaian dalam koleksinya dan akan menderma busana yang tidak lagi dipakai setiap tiga bulan.
Menurut Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, sebagai seorang selebriti, menjadi kelaziman untuknya sentiasa membeli baju baharu kerana pernah dikritik sering menggayakan pakaian yang sama.
“Susah sebenarnya menjadi selebriti kerana orang akan tegur baju yang kita pernah pakai sebelum ini. Saya sendiri pernah kena.
“Saya lihat artis lelaki selalu kena komen-komen macam begitu. Takkanlah selebriti tak boleh ulang pakai pakaian yang sama?
“Macam saya selepas saya pakai kali pertama, kali kedua saya akan mix and match. Selepas itu saya akan beri pakaian tersebut kepada orang lain sama ada saudara mara atau rakan terdekat,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran koleksi Mis Claire di sini, semalam.
Jika sesetengah selebriti lain mungkin lebih gemar untuk menjual semula pakaian terpakai (pre-loved) , tetapi bagi pelakon filem Telaga Suriram itu, dia lebih suka untuk menderma kepada mereka yang memerlukan.
“Nak buat pre-loved? Tak apa lah. Saya rasa lebih baik saya bagi sahaja. Kalau nak buat pre-loved nanti banyak kerja pula. Kalau sikit-sikit boleh la. Kalau banyak lebih baik bagi sahaja.
“Baju anak-anak saya pun ada yang saya bagi sahaja daripada disimpan tak dipakai. Kanak-kanak pula cepat membesar,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Scha baru sahaja berkolaborasi dengan jenama fesyen Mis Claire yang sinonim dengan wanita bertubuh besar sebelum ini.
Pembabitan Scha adalah revolusi baharu jenama tersebut yang menyasarkan wanita daripada pelbagai bentuk tubuh. – KOSMO! ONLINE