MUAR – Perbuatan jijik seorang pemasang jubin merogol anak kandung di ruang tamu rumah mereka di Batu Pahat, tahun lalu terbalas apabila lelaki itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Hakim Sayani Mohd Nor turut mengarahkan tertuduh yang berusia 46 tahun dikenakan hukuman 10 kali sebatan sejurus mengambil kira pengakuan bersalah serta rayuan dibuat lelaki itu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak kandungnya berusia 14 tahun yang dilarang mengikut undang-undang untuk berkahwin dengannya, antara pukul 2.30 hingga 4 petang, 28 Ogos tahun lalu.
Oleh itu, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, satu laporan polis dibuat ibu mangsa yang juga isteri tertuduh selepas salah seorang anak melihat bapanya melakukan sesuatu terhadap kakaknya di ruang tamu rumah.
Siasatan polis mendapati kejadian berlaku ketika mangsa baru pulang dari sekolah dan berehat di ruang tamu sambil bermain telefon dengan tertuduh datang ke arahnya lalu melakukan perbuatan itu.
Ketika kejadian, ibu mangsa tiada di rumah kerana bekerja di kedai jahit dan mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya sebaik pulang ke rumah pada petang hari kejadian dengan laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat, 10 malam hari sama.
Bertindak atas laporan dibuat, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek di sebuah taman perumahan tidak jauh dari lokasi kejadian.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE














