JAKARTA – Seorang wanita di Cipinang Besar, Jakarta mengakui tidak pernah berasa gentar meskipun tinggal di jirat Cina selama 34 tahun, lapor laman berita Detik hari ini.
Wanita dikenali sebagai Ira berkata, sepanjang tinggal di kubur itu, dia terserempak dengan pelbagai objek aneh termasuk ular dan jin tetapi dirinya tidak pernah berasa takut.
“Terdapat ular, hantu dan jin tetapi saya sudah akrab dengannya,” kata wanita itu yang berpindah dari satu kubur ke kubur Cina lain di kawasan tersebut.
Ira juga mengaku menjadi orang pertama yang tinggal di kubur tersebut.
Tambahnya, dia turut memasak di ruang lain di kawasan kubur dan tidur di atas tilam lipat.
Ira berkata, dia pada asalnya tinggal di sebuah pondok kayu, namun ia dirosakkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
Tambahnya, anaknya mahu membina pondok baharu tetapi dia menolak kerana menganggap tinggal di kubur adalah lebih selamat. – AGENSI