SAUDARA PENGARANG,
Saya hairan kenapa ada segelintir kedai atau restoran makanan berasaskan tempoyak ikan patin di Pahang menjual hidangan itu lebih mahal berbanding di sekitar Lembah Klang.
Misalnya ada kedai di Pahang yang menjual tempoyak kepala ikan patin pada harga RM24 seketul, sedangkan di Lembah Klang harga serendah RM18 seketul.
Sepatutnya harga di Pahang lebih kurang sama di Lembah Klang atau lebih murah lagi kerana bekalan ikan patin diperoleh dari negeri itu, tetapi sebaliknya berlaku.
Adakah ikan patin yang diperoleh peniaga di Lembah Klang daripada kolam berbanding peniaga di Pahang yang menerima bekalan ikan patin sangkar dari sungai?
Bagi saya, rasa kedua-dua ikan di Lembah Klang dan Pahang sama sahaja sedapnya.
Saya harap pihak berkuasa dapat melakukan pemeriksaan dan pemantauan harga.
Jika mahal, tolong beri penjelasan kepada pelanggan. Sekiranya ada unsur manipulasi harga sama ada daripada pihak peniaga atau pembekal, ambil tindakan tegas.
Peminat Patin
Lembah Klang
















