MELAKA – “Saya sangka angin biasa-biasa sahaja, rupanya bumbung rumah bapa mentua hilang diterbangkan ribut.”
Demikian cerita detik cemas yang dialami penduduk Kampung Pulai Pantai, Abdul Rahim Ahmad, 54, dalam kejadian ribut awal pagi tadi.
Katanya, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 1 pagi selepas dia keluar rumah untuk memeriksa sangkar kucing kerana bimbang diterbangkan ribut.
“Masa keluar rumah tiba-tiba adik ipar menjerit beritahu bumbung sudah diterbangkan ribut. Jiran-jiran turut datang beritahu perkara yang sama.
“Semasa itu bapa mentua yang berusia 69 tahun tidur di ruang tamu kerana kurang sihat. Adik ipar perempuan berusia 35 dan 29 tahun pula tidur dalam bilik. Nasib baik mereka sedar dan sempat berlari keluar,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Menurut Abdul Rahim, kediaman di kawasan itu kerap dilanda ribut, namun itu kali pertama kediamannya tinggal dinding dan lantai.- KOSMO! ONLINE