CHARLOTTE – Chelsea membuktikan status sebagai salah satu pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Dunia Kelab 2025 apabila meledak tiga gol dalam masa tambahan separuh masa kedua menewaskan Benfica awal pagi tadi.
Kelebihan beraksi menentang Benfica yang ‘tempang’ dengan 10 pemain menyaksikan Chelsea berjaya menang 4-1 dalam pertembungan pusingan 16 di Stadium Bank of America untuk mengesahkan tiket ke suku akhir.
Chelsea hampir menamatkan permainan dalam tempoh 90 minit hasil jaringan Reece James tetapi aksi terpaksa ditangguhkan akibat cuaca buruk yang kemudiannya membolehkan Benfica meledak gol penyamaan.
Situasi penyerang muda Benfica, Gianluca Prestianni dilayangkan kad merah pada minit ke-92 seakan memberikan tuah kepada Chelsea kerana berjaya meledak tiga gol selepas itu menersi Christopher Nkunku, Pedro Neto dan Kiernan Dewsbury-Hall.
“Saya sangat berbangga dengan persembahan para pemain sehinggalah minit ke-85 apabila permainan terpaksa dihentikan. Selepas itu ia berubah sepenuhnya.
“Apabila anda terpaksa berada dalam bilik persalinan selama lebih sejam, ia bukan mudah tetapi ketika seri 1-1, kami tiada pilihan dan perlu memastikan kemenangan menjadi milik kami,” kata pengurus Chelsea, Enzo Maresca.
Di suku akhir pada 5 Julai nanti, Chelsea akan berdepan jaguh Brazil, Palmeiras yang mencatat kemenangan 1-0 ke atas Botafogo dalam satu lagi aksi pusingan 16 berlangsung awal pagi tadi.
Menariknya, Chelsea pernah bergelar juara Piala Dunia Kelab edisi 2021 selepas menewaskan Palmeiras 2-1 dalam perlawanan akhir ketika itu. – AGENSI