PETALING JAYA – Tidak semua perkara dikongsi dalam media sosial, pelakon dan penyanyi Bella Astillah kesal apabila segelintir pihak mendakwa dia mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu kerana tidak banyak meluangkan masa bersama anak berikutan sibuk bekerja.
Tampil bersuara, Bella, 31, menegaskan dia akan tetap meluangkan masa dengan dua anaknya iaitu Mohamed Ayden Adrean dan Ara Adreanna meskipun jadual kerja sangat padat.
“Sekarang saya kena buat siaran langsung walaupun sekejap sebab nanti orang cakap tak luangkan masa dengan anak-anak.
“Padahal saya selalu dengan anak-anak, cuma saya tak buat siaran langsung atau muat naik dalam media sosial.
“Masa dengan anak-anak sangat berharga, saya rakam tetapi semuanya disimpan dalam telefon saya,” katanya dalam siaran langsung TikTok baru-baru ini.
Jelasnya lagi, dia bukan individu yang akan memuat naik semua perkara dalam media sosial terutama hal melibatkan anak-anak yang dianggap terlalu peribadi.
Dia bahkan menjawab persoalan ramai apabila dikatakan sering dilihat bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.
“Kadang-kadang ketika saya dengan Syed Saddiq, peminat akan ambil gambar dan video.
“Pembantu peribadi kami juga akan ambil video, disebabkan itu orang nampak kami sentiasa bersama sedangkan tidak pun,” katanya lagi.
Dalam ruangan komen, rata-rata peminatnya meminta Bella tidak terlalu melayan dan membaca komen negatif netizen.
“Tak perlulah ikut apa yang netizen nak, mereka mungkin dengki tiada kehidupan macam Bella.
“Sabarlah Bella, tidak semua orang suka cara kita. ‘Enjoy’ sahaja kehidupan dengan anak-anak dan Syed Saddiq,” komen netizen.
Sebelum ini, Bella juga pernah menafikan dakwaan sengaja menjaja kisah sedih hidupnya untuk meraih simpati dan mendapat tempat dalam industri seni.
Dia juga menerima segala komen dengan hati terbuka dan menganggapnya sebagai pengajaran untuk memperbaiki diri menjadi insan lebih baik. – KOSMO! ONLINE