SIK – Tidak tergambar kegembiraan pelajar, Muhammad Syahmi Azril Saidijamal, 18, apabila banyak pihak menghulurkan bantuan kepadanya demi memastikan dia dapat melanjutkan pengajian ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun pada 11 Ogos depan.
Menurut Muhammad Syahmi, semua perbelanjaan yang diperlukan setakat ini sudah mencukupi menerusi sumbangan pihak yang prihatin terutama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
“Alhamdulillah, segala keperluan dan perbelanjaan untuk ke IPG sudah cukup, terima kasih kepada semua pihak yang tampil bantu,” katanya di sini semalam.
Katanya, ramai yang datang mengunjunginya termasuk wakil Pejabat Pendidikan Daerah dan juga guru-guru dari sekolah lain.
“Saya bersyukur dan gembira kerana ada cikgu dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sik akan membawa saya untuk membeli barangan keperluan untuk masuk ke asrama.
“Selain itu, saya sudah ada komputer riba yang disumbangkan Kelab Anak-Anak Sik, memang gembira sangat kerana keluarga memang tidak mampu nak membelinya. Alhamdulillah hari ini sudah ada depan mata,” ujarnya.
Katanya, dia sudah tidak sabar lagi untuk menunggu hari pendaftaran dan sesi pertama kuliah di IPG.
“Saya akan belajar bersungguh-sungguh sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang dan bantu saya dan keluarga,” tambahnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan kebimbangan Muhammad Syahmi tidak dapat menyambung pengajian ke IPG ekoran kekangan kewangan dihadapi keluarga memandangkan bapanya hanya menoreh getah.














