REMBAU – Siapa sangka, cinta pandang pertama seorang lelaki berusia 81 tahun bertaut kembali dengan wanita pujaannya berumur 77 tahun selepas 50 tahun apabila mereka disatukan dalam ikatan perkahwinan.
Majlis pernikahan Datuk Dr. Md. Sham Kassim dan pasangan, Azizah Alias dengan busana putih berlangsung penuh meriah dengan kehadiran sanak saudara serta kenalan di rumah pengantin perempuan di Kampung Lada Tanah Datar, di sini semalam.
Duda empat anak itu sah menjadi suami dengan mas kahwin sebanyak RM300 berserta senaskah al-Quran.
Menurut Md. Sham yang sebelum ini merupakan pakar perubatan kanak-kanak hospital kerajaan serta universiti awam, segalanya bermula apabila dia menghubungi bekas pelajarnya, Datuk Dr. Zailan Datuk Adnan.
“Kebetulan bekas pelajar saya anak saudara kepada Azizah. Saya memang sudah lama kenal Azizah, namun tidak terlalu dekat. Masa tu dia sekolah rendah dan saya di tingkatan tiga.
“Ketika itu saya melihat dia dari jauh, semasa menanti bas untuk kita ke sekolah di Rembau, tetapi masih lagi teringat. Ini menyebabkan saya cuba menghubunginya melalui anak saudaranya,” katanya.
Katanya, selepas mengetahui Azizah masih belum berkahwin, dia terus menyatakan niat untuk mengahwini wanita tersebut.
Menurut bapa kepada empat anak serta enam cucu itu, selepas kematian isterinya enam bulan lalu dia berfikir kehidupannya perlu diteruskan dan mula mencari keberadaan Azizah.














