LONDON – Arsenal membuat keputusan mengejut apabila menyenaraikan penyerang Chelsea, Nicolas Jackson dalam senarai pemain yang menjadi buruan mereka pada jendela perpindahan kali ini.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta terdesak untuk mendapatkan khidmat penyerang untuk pasukan itu dan memulakan rundingan bersama penyerang Sporting Lisbon, Viktor Gyokeres dan penggempur RB Leipzig, Benjamin Sesko.
Mereka juga sebelum ini telah mengemukakan tawaran bernilai £60 juta (RM347.98 juta) untuk mendapatkan penyerang Aston Villa, Ollie Watkins pada Januari lalu, tetapi ditolak.
Jackson berjaya meledak 30 gol dalam 80 penampilannya bersama Chelsea sejak berhijrah dari Villarreal pada 2023, namun penyerang itu berdepan kritikan hebat ekoran kegagalannya mengekalkan tahap konsisten sebagai penyerang.
Berdasarkan laporan, Chelsea tidak keberatan untuk melepaskan khidmat penyerang itu selepas mereka berjaya mendapatkan khidmat Liam Delap menyebabkan Arsenal muncul menyatakan minat.
“Chelsea mengakui mereka tidak terdesak untuk melepaskan Jackson, namun dia bukanlah pemain yang memiliki kekebalan di Stamford Bridge menyebabkan penjualannya mungkin berlaku.
“Bagaimanapun, Arsenal juga masih belum membuat keputusan mengenai penyerang yang akan dibawa masuk. Segalanya bergantung kepada kekuatan kewangan, tetapi Jackson menjadi antara pilihan yang mereka ada,” jelas laporan berkenaan.
Arsenal memiliki banyak pengalaman rundingan bersama Chelsea melibatkan urusan perpindahan pemain seperti Kai Havertz, Jorginho, Willian, David Luiz, Raheem Sterling dan beberapa lagi pemain lain. – AGENSI