PARIS – Sebuah mahkamah Perancis mengarahkan Datuk Bandar Nice untuk menurunkan bendera Israel dari balkoni bangunan dewan bandar raya berkenaan, lapor portal berita Daily Sabah kelmarin.
Mahkamah membuat keputusan itu kerana kibaran bendera itu dibuat berdasarkan kempen politik dan bukannya menunjukkan solidariti neutral.
“Susulan aduan yang dikemukakan, Mahkamah Pentadbiran Nice mengarahkan datuk bandar memindahkan bendera Israel yang dinaikkan di balkoni hadapan bangunan dewan bandar raya dalam tempoh lima hari,” kata kenyataan mahkamah itu.
Mahkamah itu memutuskan bahawa paparan bendera tersebut tidak boleh dilihat semata-mata sebagai simbol sokongan untuk tebusan Israel yang ditawan kumpulan Hamas.
Menurutnya, tindakan mengibar bendera Israel tersebut dilakukan sebagai menyokong negara haram Israel dan secara tidak langsung merupakan ekspresi politik.
Susulan keputusan itu, Datuk Bandar Nice, Christian Estrosi menanggalkan bendera yang dikibarkannya sejak serangan Hamas di Israel pada 7 Oktober 2023, demikian menurut akhbar harian Perancis, Le Figaro. – AGENSI