SHAH ALAM – Polis menerima satu lagi laporan berhubung kenderaannya mengalami kerosakan akibat dilanggar sebuah lori selepas diparkir di tepi jalan berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Glenmarie di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, ini menjadikan lapan laporan keseluruhan yang diterima pihaknya berhubung kejadian itu.
“Kita masih mengesan lori yang terlibat dalam insiden itu,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan siasatan polis mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 2.10 petang dengan mendapati pemilik meletakkan kenderaan terbabit untuk menggunakan perkhidmatan LRT ke tempat kerja.
Mangsa menyedari kenderaan dipercayai dilanggar kenderaan berat ketika pulang kerja. Kes disiasat mengikut Kaedah 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959
Hari ini, tular video rakaman kamera papan pemuka (dashcam) salah sebuah kenderaan yang berada di lokasi kejadian dengan sebuah treler berwarna biru secara tidak sengaja menyeret beberapa kereta di bahu jalan kerana ruang laluan terlalu sempit untuk dilalui. – KOSMO! ONLINE