fbpx

Islamkan politik bukan politikkan Islam – Sultan Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Ibrahim ketika menyampai anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Datuk Dr. Nooh Gadut, sambil diperhatikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

KUALA LUMPUR – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menyeru agar agama Islam tidak dipolitikkan demi kepentingan peribadi atau parti, sebaliknya menggesa semua pihak untuk ‘mengislamkan politik’ agar selari dengan kepentingan negara dan syariat Islam.

Sultan Ibrahim bertitah, setiap urus tadbir yang dijalankan perlulah berlandaskan dengan syariat Islam dan bukan mengikut fahaman-fahaman berbeza.

“Urus tadbir kerajaan mestilah mengikut landasan syariat Islam, bukannya fahaman sekular atau liberal.

“Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna, mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia,” titah Seri Paduka pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Baginda turut mengingatkan bahawa pentas dakwah dan medan pengajaran agama tidak wajar dijadikan alat bagi agenda politik, sebaliknya menyeru supaya semua umat Islam menjadikan Islam sebagai cara hidup sebenar melalui akhlak, amalan dan adab yang mulia.

Mengimbas kembali peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah, Seri Paduka menyifatkannya sebagai titik permulaan tamadun Islam agung yang wajar diteladani dalam membentuk negara berperadaban tinggi.

Seri Paduka mengingatkan agar semua pihak menghormati Perlembagaan Negara dan tidak mencetuskan permusuhan atas nama kaum atau agama yang boleh menggugat keamanan negara.

Seri Paduka juga menyeru seluruh kepimpinan negara agar mencontohi sifat Rasulullah SAW yang berhemah, adil dan tidak menzalimi golongan lemah.

“Marilah kita berganding bahu membina negara yang bukan sahaja berjaya di mata dunia, tetapi juga diberkati Ilahi,” titah baginda.

Sultan Ibrahim ketika mengakhiri titah mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Hijrah 1447H kepada seluruh umat Islam dan mendoakan agar Malaysia terus dirahmati dan diberkati oleh Allah SWT. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI