fbpx
FINA menunjukkan sebahagian produk kecantikan keluaran syarikatnya di bawah jenama Masmuqa. – Afiq Razali

K2

Buat topeng muka dari tingkatan satu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMINATI bidang kecantikan sejak kecil dan mewarisi ‘darah’ berniaga daripada arwah ibunya membuatkan wanita berusia 24 tahun ini cukup berdedikasi serta bersemangat dalam menjalankan perniagaannya.

Nurin Afrina Muhamad Syahrel atau lebih mesra disapa Fina merupakan pengasas jenama Masmuqa yang menjalankan perniagaan produk kecantikan wajah sejak setahun lalu.

“Dunia perniagaan bukanlah perkara baharu bagi saya kerana sejak di bangku sekolah saya telah membantu arwah ibu menjalankan bisnes bakeri di rumah.

“Arwah ibu akan bagi duit setiap kali saya membantunya berniaga.

“Saya sangat seronok kerana mempunyai duit poket sendiri.

“Dari situ, tumbuh rasa cinta kepada dunia perniagaan, sekali gus menyebabkan saya bercita-cita mengasaskan perniagaan sendiri.

“Saya juga sangat meminati bidang kecantikan. Ketika di tingkatan satu, saya telah membuat sendiri topeng muka (facial sheet mask) dengan menggunakan bahan-bahan semula jadi berpandukan perkongsian di dalam internet,” ujar anak sulung daripada empat beradik itu.

Meskipun dia meminati bidang kecantikan, namun ahli keluarga melihatnya sangat berbakat dalam fesyen kerana memiliki kebolehan menjahit.

Akur dengan cadangan keluarga, Fina melanjutkan pengajian tingkatan empat dalam jurusan rekaan fesyen di Kolej Vokasional Ekonomi Rumah Tangga Setapak, Kuala Lumpur sehingga ke peringkat diploma di institusi sama.

“Hati saya berbelah bahagi kerana pada masa sama turut meminati bidang kecantikan.

“Oleh itu, saya mengambil inisiatif untuk belajar ilmu kosmetologi ketika waktu terluang dengan menghadiri kelas dan acara-acara berkaitan dengannya.

“Bermula dari situ, saya dapati bidang kecantikan sebenarnya lebih dekat di hati.

Fina baru setahun berjinak-jinak dalam bidang bisnes.

“Maka selepas tamat diploma, saya terus bekerja di klinik estetik untuk menimba sebanyak mungkin ilmu penjagaan kecantikan,” katanya yang berasal dari Klang, Selangor.

Tambahnya, ketika di klinik estetik, dia banyak belajar mengenai bahan-bahan kecantikan dan cara penjagaan kulit.

“Paling penting yang selalu ditekankan adalah penghidratan merupakan kunci kepada kulit yang sihat,” ujarnya.

Setelah empat tahun menimba ilmu sebagai pembantu klinik, konsultan dan jurulatih kecantikan, Fina mengambil keputusan untuk mengejar cita-citanya dalam perniagaan.

Dia memilih mengeluarkan produk pertamanya iaitu facial sheet mask. Proses kajian dan pembangunan dilakukan selama setahun untuk menghasilkan produk tersebut.

“Saya bekerja rapat dengan doktor estetik untuk menghasilkan formulasi terbaik buat pelbagai jenis kulit.

“Tambahan pula, saya dan adik-adik mengalami masalah ekzema sejak kecil, maka produk ini juga salah satu impian saya untuk membantu mereka yang senasib dengan kami.

“Saya memilih topeng muka sebagai produk pertama kerana kunci utama kecantikan kulit adalah penghidratan tetapi ramai yang malas pakai produk penjagaan kulit.

“Oleh itu, topeng muka adalah solusi kerana boleh dipakai dengan mudah untuk mendapatkan manfaatnya,” ujarnya.

Bercerita mengenai perjalanan awal perniagaannya, Fina bersama rakan kongsinya memilih beroperasi dari rumah.

Apabila produk itu semakin mendapat sambutan, dia berpindah ke premis perniagaan sambil dibantu oleh empat orang staf.

Kini, Masmuqa mengeluarkan tiga jenis topeng muka iaitu untuk penghidratan, menyegarkan dan membaiki.

Bermula September nanti, orang ramai boleh mendapatkan set keseluruhan penjagaan wajah di bawah jenama itu yang merangkumi pencuci muka, pelembap, toner, serum dan krim pelindung matahari.

Fina juga merancang untuk melebarkan sayap perniagaannya dengan membuka klinik estetik pada masa akan datang.

Mengulas mengenai cabaran, dia berkata, memandangkan dirinya masih muda, maka pengalaman dalam selok-belok perniagaan sangat sedikit. Namun, itu tidak menghalang Fina untuk terus melangkah ke hadapan, malah dia seronok menjalani proses pembelajaran pada setiap hari.

Sementara itu, Fina berpesan kepada generasi muda yang berminat menceburkan diri dalam perniagaan supaya jangan takut untuk mencuba.

Katanya, paling penting, mereka perlu membuat penyelidikan terlebih dahulu mengenai perusahaan yang ingin dijalankan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN