PENGARAH teknikal skuad berbasikal trek negara, John Beasley bimbang dengan keadaan semasa pelumba pecut utama, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut.
Beasley berkata, masalah tempurung lutut dialami Shah sebelum Kejohanan Trek Asia (ACC) 2025 di Nilai pada Februari lalu masih membelenggu prestasi pelumba berusia 29 tahun itu walaupun sudah berehat panjang dan menjalani rawatan fisioterapi.
“Kami dah cuba pemulihan secara pasif fisioterapi dan rehat tetapi belum cukup membantu sepenuhnya. Sekarang kami bincang semula dengan pasukan perubatan untuk cari rawatan lain yang lebih agresif atau berkesan,” kata Beasley.
Situasi itu menimbulkan kebimbangan buat Beasley menjelang Kejohanan Dunia di Santiago, Chile pada 22 hingga 26 Oktober depan terutama selepas Shah gagal menyerlah pada Grand Prix Jerman minggu lalu.
Shah yang disebut-sebut sebagai pengganti ideal buat jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, bergelut dengan kecederaan tersebut apabila sekadar menamatkan acara keirin di tempat ke-56 daripada 66 peserta dan ke-46 dalam pecut.
Dalam masa sama, Beasley turut memberi bayangan harapan kini turut disandarkan kepada Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri yang dilihat sedang berada di landasan terbaik untuk tampil cemerlang di Kejohanan Dunia nanti.
“Izzah dijangka berada pada prestasi terbaik ketika Kejohanan Dunia, manakala pelumba lain sedang berusaha mencipta lonjakan prestasi,” ujarnya.
Selain Shah dan Izzah, skuad negara kini giat menjalani jelajah lima siri kejohanan di Jerman sebagai persiapan dengan membariskan pelumba seperti Muhammad Ridwan Sahrom, Mohd. Fadhil Zonis, Mohd. Akmal Nazimi Jusena serta Anis Amira Rosidi.