fbpx

Empat lelaki termasuk tiga warga Singapura didakwa edar kokain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empat tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini.

AMPANG – Empat lelaki termasuk tiga warga Singapura didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah kokain dalam bentuk cecair lebih 9,000 mililiter (ml) minggu lalu.

Keempat-empat tertuduh itu ialah Kong Sien Mee, 57, yang merupakan warga tempatan serta tiga warga Singapura iaitu Quek Kien Seng, 45, Tristan Chiew Jin Zhong, 25 dan Ivan Tan Zhi Xuan, 31,

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada mereka selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top kerana kes itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis kokain anggaran isipadu 9,420.2 mililiter (ML) di jalan keluar sebuah hotel di sini pukul 11.45 pagi pada 19 Jun lalu (2025).

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup dan jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 sebatan.

Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M.Ramanathan Alias Ashwin.

Tiga tertuduh warga Singapura diwakili peguam Ille Maryam Yusnawannie manakala Sien Mee yang merupakan warga tempatan tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 September sebutan semula kes dan laporan kimia.

Isnin lalu, Kosmo! melaporkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan satu sindiket pengedaran cecair vape mengandungi dadah disyaki kokain dalam serbuan di sebuah hotel di Ampang Jaya, Selangor pada 19 Jun lalu.

Bahan terlarang itu dipercayai rampasan pertama seumpamanya di negara ini membabitkan kokain dalam bentuk cecair vape.

Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mat Zani@Mohd. Salahuddin Che Ali berkata, dalam serbuan pukul 3.45 pagi itu, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun dan tiga warga Singapura berusia 46, 25 dan 31 tahun.

Pemeriksaan ke atas Toyota Vellfire milik sindiket itu menemui 10 kotak berisi 4,958 cartridge (katrij) vape berisi cecair kokain seberat 9,420.2 mililiter. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI