JOHOR BAHRU – Dua pekerja restoran berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dituduh di Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ketamin di Taman Setia Indah, di sini, minggu lalu.
Tertuduh, Mohd. Iqbal Adi Azizie Abdul aziz, 35, dan Mohd. Shahril Sawal, 31, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan setelah kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama-sama telah didapati mengedar dadah berbahaya jenis ketamin dengan berat kasar 3,428 gram kira-kira pukul 11.18 pagi di Jalan Setia ¼, Taman Setia Indah pada 19 Jun lalu.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Mahkamah menetapkan 26 Ogos sebagai sebutan semula kes untuk status laporan kimia.-KOSMO! ONLINE