PASIR PUTEH – Pelajar asnaf yang memerlukan sebuah komputer riba tidak mahu kekangan kewangan keluarga menjadi alasan untuk tidak menyambung pelajaran selepas memperoleh keputusan cemerlang 10A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 baru-baru ini.
Emilia Izzati Nor Afandi, 18, yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh berkata, dia baru memulakan pengajian Jurusan Sains Tulen di Kolej Matrikulasi Kelantan di Kok Lanas dekat sini kelmarin.
Katanya, kemiskinan keluarga bukan alasan untuk berputus asa, malah menjadi dorongan untuk terus berusaha dan memenuhi impian keluarga.
“Saya ada impian besar untuk ke Universiti Malaya (UM) dan bercita-cita menjadi doktor gigi. Buat masa ini, saya hanya perlukan satu komputer riba untuk
membantu menyiapkan tugasan dan pembelajaran.
“Ayah, Nor Afandi Md. Kesenin, 48, merupakan seorang petani di bawah program Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan bekerja keras menanam timun dan cili demi menyara keluarga,” katanya.
Ujarnya, segala keperluan termasuk pakaian dan yuran pendaftaran ke kolej matrikulasi sebanyak RM499 diusahakan bapanya melalui hasil jualan sayur-sayuran.
Nor Affandi berkata, bantuan moral dan sokongan daripada Yayasan Raja Shamri baru-baru ini memberi kelegaan dan semangat untuk mendapatkan komputer riba buat anaknya.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh hubungi Emilia Izzati di talian 017-343 5543 atau terus ke akaun Bank Simpanan Nasional miliknya, 0350141700099314.