PUTRAJAYA- Presiden Republik Kyrgyz, Sadyr Zhaparov yang sedang dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini pagi tadi.
Ketibaan Zhaparov di Kompleks Perdana Putra pada 9 pukul pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan majlis sambutan bermula dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Zhaparov kemudiannya memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja diketuai Mejar Nur Ahmad Zaim Zahari.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan barisan Menteri Kabinet lain.
Presiden Zhaparov kemudiannya menandatangani buku pelawat sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anwar.
Ini merupakan lawatan pertama Zhaparov ke Malaysia sejak memegang jawatan berkenaan pada Januari 2021.
Lawatan itu juga sebagai membalas lawatan Perdana Menteri ke Kyrgyz pada Mei 2024.
Pada 2024, Kyrgyz merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Tengah dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM40 juta (USD8.74 juta).
Eksport utama Malaysia ke republik berkenaan termasuk produk elektrik dan elektronik, minyak sawit, produk pertanian berasaskan minyak sawit dan jentera, kelengkapan serta alat ganti, manakala import utama Kyrgyz terdiri daripada bahan kimia dan produk kimia, produk elektrik dan elektronik serta makanan diproses.
Malaysia dan Republik Kyrgyz menjalin hubungan diplomatik pada 21 Mei 1992 selepas Kyrgyzstan memperoleh kemerdekaan susulan pembubaran Kesatuan Soviet pada 1991. – KOSMO! ONLINE