KUALA LUMPUR – Menerima banyak usikan nakal impak jambangan bunga beserta ucapan manis ‘semoga cepat sembuh rakan sekerja’ daripada pelakon Fattah Amin, penyanyi Amira Othman mengakui tidak mengetahui niat sebenar di sebalik layanan istimewa duda popular itu terhadap dirinya.
Enggan mengulas lanjut, Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 32, bagaimanapun menyerahkan semua doa yang baik-baik daripada khalayak kepada Tuhan.
“Saya mengakui ‘rakan sekerja’ (Fattah) ada beri bunga. Memang dia ada muat naik hantaran dalam Instagram tapi tidak tahu mengapa, kena tanya dia sendiri, biasalah orang usik-usik kami. Saya pun tak tahu nak komen apa.
“Seperti Fattah tulis dalam Instagram ‘semoga cepat sembuh rakan sekerja’. Perkara baik kita aminkan, nak cerita lanjut tiada apa pun,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada sesi eksklusif bersama Amira Othman dan Hazama, semalam.
Pada masa sama, pelantun lagu Hati Hati itu turut menyifatkan Fattah antara rakan lelaki paling rapatnya dengannya buat masa ini.
“Sebenarnya ada kawan lelaki rapat tetapi tak ramai antaranya memang Fattahlah.
“Mungkin sebab beliau Fattah Amin, peminat dia ramai jadi saya terkena tempias. Dia muat naik apa-apa pun orang nak tahu sebab dia terkenal,” ujarnya.
Berkongsi mengenai rawatan di hospital, Amira mendedahkan bahawa dia mengalami masalah keracunan makanan selepas menghadiri sebuah parti hari jadi.
“Sebenarnya saya kena keracunan makanan dan terlampau dehidrasi sehingga tekanan darah rendah.
“Lima hari saya ditahan wad. Saya sarankan siapa yang kena cepat-cepat pergi hospital. Macam saya, utamakan kerja dahulu sampai tak ada daya kerana terlalu dehidrasi.
“Sekarang dah sembuh sepenuhnya cuma kena pantau dan makan makanan yang boleh naikkan bacaan darah,” kongsinya.
Minggu lalu, pemilik nama lengkap Abdul Fattah Mohd. Amin menghadiakan dua jambangan bunga sewaktu Amira dimasukkan ke hospital.
Malah, Fattah dan ibunya turut melawat Amira di hospital sehingga menyentuh hati ramai netizen malah hubungan mesra mereka mendapat reaksi positif yang membuktikan kasih sayang keluarga Fattah bukan sekadar lakonan dalam media sosial.
Dalam perkembangan lain, Amira melancarkan single terbaharunya berjudul Dalam Sujudku, sebuah lagu balada yang menyelami keperitan jiwa seorang wanita dalam perjuangan mencari kekuatan dan ketenangan hati.
Karya ciptaan Farouk Roman tersebut juga merupakan lagu tema utama bagi drama Dia Bukan Syurga karya Rissa Ahdiya yang bersiaran menerusi slot Mega Drama, Astro Ria. – KOSMO! ONLINE