PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa Iran bersedia menghentikan tindakan ketenteraan terhadap Israel sekiranya rejim Zionis itu menghentikan serangan ke atas wilayah Palestin dan Iran.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Presiden Republik Islam Iran, Masoud Pezeshkian dalam perbualan telefon bersama Anwar berhubung ketegangan terkini antara kedua-dua negara.
“Presiden Masoud menyatakan komitmen Iran terhadap perdamaian, namun ia bersyarat, Israel mesti menghentikan segala bentuk pencerobohan terhadap Palestin dan Iran,” kata Anwar pada hantaran di laman Facebooknya sebentar tadi.
Pada hantaran sama, Anwar memberitahu bahawa Iran memohon bantuan Malaysia untuk menyampaikan pendirian tersebut kepada negara-negara Islam lain agar tidak terpengaruh dengan naratif berat sebelah yang memutarbelitkan situasi sebenar.
“Malaysia juga menyambut baik komitmen Iran untuk mencari jalan damai bersama semua pihak, termasuk Amerika Syarikat dan Israel, sekiranya syarat keadilan dan kedaulatan dipenuhi.
“Malaysia percaya bahawa hanya melalui rundingan dan diplomasi, penyelesaian menyeluruh dapat dicapai sebagai usaha dan upaya mengelak pertembungan yang berpanjangan,”jelasnya.
Anwar turut menegaskan pendirian Malaysia yang mengecam keras tindakan Israel menyerang Gaza dan Iran sehingga mengorbankan bukan sahaja orang awam, malah pemimpin tentera serta saintis Iran.
Jelas beliau, tindakan Israel itu jelas melampaui batas kemanusiaan dan mencabuli prinsip undang-undang antarabangsa.
“Sejak tercetusnya konflik ini, Malaysia konsisten dengan pendirian bahawa keganasan bukan jalan keluar.
“Namun, dalam kerangka keadilan sejagat, kami mengakui hak Iran untuk bertindak balas terhadap sebarang bentuk pencerobohan yang mencabuli kedaulatan negaranya.
“Adalah munafik untuk dunia mengiktiraf kekuatan Israel tetapi menolak hak sah Iran untuk mempertahankan diri,”kata Perdana Menteri.-KOSMO! ONLINE