PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terlibat dalam insiden membakar karikatur wajah beliau baru-baru ini dikenakan tindakan buang universiti.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir yang menjelaskan bahawa Perdana Menteri berpandangan masa depan dan pengajian pelajar lebih utama berbanding hukuman yang terlalu berat.
“Perdana Menteri berpesan agar pelajar UMS yang terlibat dalam insiden baru-baru ini tidak dibuang universiti.
“Bagi YAB PM, mereka mungkin membuat kesilapan tetapi masa depan dan pengajian mereka jauh lebih penting dan perlu diutamakan,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.
Terdahulu, satu aksi membakar kain rentang bergambar karikatur pemimpin negara itu dilakukan oleh sekumpulan mahasiswa pada penghujung satu perhimpunan aman di Kota Kinabalu, Sabah, Ahad lalu.
Perhimpunan berkenaan dianjurkan kumpulan dikenali sebagai Sekretariat Rakyat Benci Rasuah sebagai bantahan terhadap isu rasuah dan dakwaan kegagalan pentadbiran kerajaan menunaikan janji reformasi institusi. – KOSMO! ONLINE