SEJAK kecil lagi, Imran Rashid sudah menunjukkan minat mendalam dalam dunia baking atau membuat roti dan kek.
Lebih menyeronokkan baginya adalah apabila adik-beradiknya yang lain turut berkongsi minat yang sama memandangkan sudah didedahkan dengan aktiviti itu oleh ibu mereka sejak kecil.
Terbaharu, Imran bersama dua orang adiknya menarik perhatian netizen apabila memuat naik video ‘Tiramisu Challenge’ yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok.
Video tersebut yang dimuat naik menerusi akaun TikTok milik adik Imran iaitu Hafiz Rashid berjaya merekodkan sehingga 2.2 juta tontonan.
Dalam video tersebut, Imran bersama dua adiknya, Hafiz dan Alisya menghasilkan tiramisu versi masing-masing yang kemudian dinilai ahli keluarga yang lain.
Berkongsi dengan K-Remaja, pemuda berusia 28 tahun itu berkata, dia sememangnya minat terhadap aktiviti baking, bahkan pernah mengikuti kelas baking sebelum ini.
“Saya didedahkan dengan aktiviti baking sejak kecil oleh ibu yang juga merupakan seorang yang pandai memasak.
“Perlahan-lahan, minat itu mulai timbul dan saya mula belajar sendiri. Selain itu, saya juga sebelum ini pernah mengikuti kelas baking serta bekerja di sebuah bakeri,” katanya membuka bicara.
Ujar Imran yang juga adik kepada selebriti popular Hanis Zalikha, dia sama sekali tidak menyangka video tiramisu yang dimuat naik baru-baru ini menjadi tular.
Katanya, dia bersama adik-beradiknya suka bereksperimen dengan resipi.
“Apabila saya hasilkan sesuatu produk atau makanan, saya tidak mahu sekadar menjualnya.
“Saya mahu pastikan ia sempurna. Kebetulan, adik- beradik saya juga suka bereksperimen dengan resipi.
“Justeru, maklum balas yang diterima daripada ahli keluarga tentang menu tersebut adalah sesuatu yang bernilai buat kami semua untuk menambah baik menu yang dihasilkan,” katanya.
Tambah Imran, memandangkan kini dia sudah bekerja sepenuh masa dalam bidang pengiklanan, dia tidak mempunyai begitu banyak masa untuk serius dengan aktiviti baking.
Begitu pun, jejaka tinggi lampai itu berkongsi dia berhasrat untuk meluangkan lebih banyak masa untuk melakukan aktiviti tersebut memandangkan ia sudah menjadi minat utamanya sejak kecil.
“Buat masa ini, saya sedang cuba cari masa dan waktu untuk mula baking semula.
“Ini mungkin akan menjadi passion project saya,” katanya














