PETALING JAYA – “Tak pernah sangka akan saksi depan mata pintasan anti peluru berpandu. Macam dalam filem perang”.
Demikian perkongsian seorang rakyat Malaysia di Doha, Qatar, menerusi aplikasi Threads, @Itarosl yang menyatakan keluarga merasai gegaran kuat disertai letupan tengah malam tadi.
Letupan itu susulan serangan balas Iran terhadap pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) Al-Udeid yang terletak kira-kira 30 minit dari kawasan perumahan
Katanya, letupan itu cukup kuat hingga menggegarkan rumah, mencetuskan panik, dan menyebabkan anak-anak kecil menangis ketakutan.
“Tak pernah imagine (terbayang) akan witness (saksi) depan mata anti missile intercept (pintasan anti peluru berpandu). Macam dalam filem perang,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Katanya, sistem pertahanan peluru berpandu (anti-missile) dapat dilihat secara jelas memintas serangan udara tersebut di langit terbuka, mencetuskan suasana seperti medan perang yang selama ini hanya dapat disaksikan dalam filem perang.
“Baru merasa macam Palestin rasa, walaupun mungkin baru satu peratus,” tambahnya.
Kejadian itu menjadi pengalaman yang menyentuh hati dan membuka mata ramai bahawa situasi getir yang dihadapi oleh rakyat Palestin.
Meninjau ke ruangan komen, orang ramai dilihat saling mendoakan keselamatan rakyat Qatar agar sentiasa dilindungi.
“Ya Allah betul, baru merasa satu peratus dari apa yg Palestin rasa,” komen Intannarital.
“Semoga awak baik-baik sahaja dekat sana. Jaga diri!,” Bingkaubi.
“Moga awak sekeluarga sentiasa dalam jagaan Allah,” ujar fyllaabidin_. – KOSMO! ONLINE.