WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan gencatan senjata antara Israel dan Iran, beberapa jam setelah Tehran menyerang pangkalan tentera AS di Qatar dan 11 hari selepas Israel memulakan serangan, lapor agensi berita United Press International.
Pegawai Israel mahupun Iran bagaimanapun tidak mengulas secara terbuka mengenai pengumuman Trump, lapor saluran berita ABC News.
Selepas pengumuman itu sekitar pukul 6 petang (waktu tempatan), serangan udara dilaporkan oleh kedua-dua negara.
Trump menyiarkan di laman Truth Social bahawa jeda perang akan berkuat kuasa sejurus selepas tengah malam, dengan perang dijangka tamat secara rasmi sehari kemudian.
Trump berkata, gencatan senjata akan berlaku selama 24 jam secara berperingkat, bermula sekitar pukul 4 pagi (GMT) hari ini atau 12 tengah hari waktu Malaysia, dengan Iran menghentikan semua operasi secara unilateral.
Ujarnya, Israel akan melakukan perkara serupa 12 jam kemudian, lapor agensi berita AFP.
“Pada jam ke-24, penamatan rasmi kepada perang 12 hari akan disambut oleh dunia,” kata Trump.
Tambahnya, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk kekal ‘aman dan saling menghormati’ semasa setiap fasa proses itu.
“Atas andaian bahawa segala-galanya berjalan sebagaimana yang sepatutnya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada kedua-dua Israel dan Iran kerana mempunyai stamina, keberanian dan kebijaksanaan untuk menamatkan apa yang sepatutnya dipanggil, ‘PERANG 12 HARI’,” tulis Trump. – AGENSI