fbpx

Suara wanita sayup minta tolong dekat terowong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kawasan terowong di GORR. - Tribun Gorontalo

JAKARTA – Suara wanita meminta tolong berhampiran terowong di sebatang jalan di wilayah Gorontalo kekal menjadi misteri meskipun selepas polis membuat pemeriksaan di lokasi kejadian, lapor laman berita Tribunnews semalam.

Seorang pengguna media sosial, Muhajir Moputi sebelum ini memuat naik rakaman video memaparkan suara wanita misteri meminta tolong di kawasan berbukit laluan Gorontalo Outer Ring Road (GORR).

Susulan video tular itu, Polis Limboto Barat dengan segera membuat pemeriksaan di lokasi kejadian dan mencari punca suara itu.

“Polis tidak menemukan apa-apa bukti kejadian. Kami memeriksa lokasi kejadian pada hari sama video itu dikongsikan,” kata Ketua Polis Limboto Barat, Inspektor Icuk Eka.

Tambahnya, ketika ini, siasatan masih diteruskan dan polis memohon bantuan orang ramai sekiranya mereka mempunyai maklumat lanjut mengenai suara itu.

Sebelum ini, satu video tular memaparkan bunyi suara berkenaan dikongsikan oleh Muhajir di laman Facebook.

Menurut Muhajir, ketika kejadian sekitar pukul 1 petang (waktu tempatan) kelmarin, dia dan anaknya berhenti seketika di tepi jalan berhampiran sebuah terowong di GORR.

“Kami berhenti hanya sekadar untuk merakam gambar,” katanya.

Namun, Muhajir berkata, mereka tiba-tiba terdengar bunyi suara wanita meminta tolong.

“Pada awalnya, saya tidak menghiraukan kerana suara itu sayup-sayup. Namun semakin lama, ia semakin jelas dan kedengaran seperti dekat sekali,” katanya.

Disebabkan gagal mencari puncanya, Muhajir membuat keputusan untuk merakam dan memuat naik video itu di Facebook.

Katanya, suara itu terus berbunyi sehingga mereka kembali menaiki kereta dan meneruskan perjalanan.

Rata-rata pengguna media sosial meminta Muhajir untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana bimbang suara itu datang daripada mangsa kemalangan yang berlaku tanpa disedari sesiapa. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI