KUALA LUMPUR – Keterujaan sebahagian individu yang ingin mencari rezeki di ibu negara menjadi mimpi ngeri buat mereka apabila terpaksa menjadi gelandangan pada waktu malam selepas bekerja di siang hari kerana berdepan masalah kewangan kronik.
Lebih menyedihkan apabila ada dalam kalangan mereka malu hendak balik kampung ekoran gagal mengubah nasib keluarga selepas mendapat pekerjaan dengan gaji ‘ciput’.
Istilah ‘sepak terajang’ kota raya menjadi realiti apabila kehidupan di sini tidak sama dengan apa yang digambarkan kononnya dapat mengubah kehidupan selepas bekerja di Kuala Lumpur.
Sisi gelap Kuala Lumpur itu dialami Roslan, 30, apabila dia yang datang dari Baling, Kedah untuk mencari pekerjaan sejak enam bulan lalu sekadar menjadi penghantar makanan.
Katanya, upah yang diterima sekadar cukup-cukup makan untuknya dan keluarga di kampung kerana tiada kelulusan akademik yang baik untuk diterima bekerja.
“Saya anak tunggal dan bapa pula ambil upah toreh getah. Pendapatan yang tidak stabil menyebabkan saya memilih untuk tidur di kaki lima atau kerusi di terminal bas Pasar Seni pada malam hari.
“Malu hendak balik kampung kerana mereka menyangka saya kerja besar di sini. Hakikatnya saya tidur di atas lantai kotor dan jika keluarga tahu sudah tentu mereka minta saya pulang kerana tidak mahu menyusahkan saya,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Roslan, sebahagian besar wang diperoleh diberi kepada keluarga termasuk ibu bapa, isteri dan anak perempuan tunggalnya.
Zul, 42, dari Bentong, Pahang pula berkata, dia berhijrah selepas tamat tingkatan lima untuk membantu keluarga tetapi malang dia terjebak dengan dadah ketika remaja.
Katanya, hidup bertambah derita apabila isteri yang dikahwininya selama 19 tahun menuntut cerai ketika mereka mempunyai empat anak.
“Tiga kali masuk penjara dan baru dibebaskan April lalu akibat dadah. Hidup terumbang ambing tanpa rumah, wang dan arah tuju.
“Keluarga sering ambil berat tetapi saya malu selain rasa seperti dibuang. Selepas keluar penjara saya tidur di mana-mana sehingga hilang rasa malu pada orang lalu lalang,” katanya.
Menurut Zul, dia bernasib baik diterima bekerja sebagai pengawal keselamatan di Ampang dengan gaji RM1,800 dan tinggal di sebuah rumah kebajikan kerana tidak mampu sewa bilik RM650 sebulan.














