DUNGUN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluaskan
Program Jualan Rahmah Madani ke kampus universiti bagi membantu pelajar institut pengajian tinggi (IPT) menangani kos sara hidup.
Pengarah KPDN Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun menjadi lokasi pertama PJRM@Kampus tersebut di negeri ini.
“PJRM@Kampus ini memberi fokus terhadap barangan keperluan harian yang sering digunakan pelajar IPT seperti alat tulis, makanan kering, barangan penjagaan diri, ubat-ubatan dan buku teks.
“Kesemua barangan tersebut ditawarkan pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih murah daripada pasaran,” katanya ketika merasmikan PJRM@Kampus di UiTM Dungun di sini hari ini.
Mohd. Mufsi berkata, penganjuran julung kali PJRM@Kampus itu memberi manfaat kepada hampir 6,000 pelajar UiTM Dungun.
Beliau berkata, penganjutan PJRM terbabit bakal diperluaskan ke kampus-kampus IPT lain di seluruh Terengganu seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada masa terdekat.
“Kita menyasarkan untuk menganjurkan lagi PJRM@Kampus pada sesi semester baharu pada bulan September depan,” katanya.
Sementara itu, seorang pelajar, Muhammad Azmirul Razzy Azizi, 20, berkata, penganjuran PJRM@Kampus bagaikan rahmat kepada pelajar universitinya.
Pelajar tahun dua Diploma Pengurusan Perniagaan itu berkata, sebelum ini dia terpaksa berjimat cermat dan kadang-kadang mengikat perut memandangkan hanya bergantung kepada wang saku diberi ayahnya yang bekerja sebagai kerani. – KOSMO! ONLINE