fbpx
Ramai isteri terpaksa menanggung beban perasaan dan emosi selepas mengetahui pasangan hidup mereka rupa-rupanya individu yang bernafsu songsang. – GAMBAR JANAAN AI

Gambar cuti bongkar suami ada teman lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Individu yang mempunyai kecenderungan homoseksual atau biseksual sering memilih untuk berkahwin dengan wanita sebagai satu cara untuk mereka menutup identiti sebenar.

Tindakan itu bukan sahaja men­jadikan si isteri sebagai ‘bo­ne­ka’ dalam rumah tangga, malah turut menyebabkan pasangan ti­dak mendapat hak yang sepatut­nya terutama melibatkan nafkah batin.

Berkongsi pengalaman malang itu, seorang wanita dikenali sebagai Laila, 30-an berkata, perkahwinan yang dibina dengan seorang lelaki sebelum ini adalah dibuat atas pilihan keluarga.

Namun katanya, disebabkan masing-masing mempunyai kerjaya, mereka memutuskan untuk hidup sebagai pasangan jarak jauh (PJJ).

“Suami bekerja di sebuah syarikat perbankan di Lembah Klang, manakala saya pula kakitangan kerajaan di sebuah kementerian di Pantai Timur. Memang kami jarang berjumpa sebab masing-masing sibuk.

“Dalam sebulan adalah sekali dia balik ke sini (kampung) ataupun saya ke sana (Lembah Klang). Kadang-kadang sampai dua tiga bulan kami tidak jumpa.

“Ketika bersama, saya memang tidak mengesyaki apa-apa, tetapi apa yang pelik ialah dia lebih suka tidur berasingan. Dalam hati saya, mungkin dia segan sebab kami tidak bercinta dan terus bernikah atas pilihan keluarga,” katanya kepada ­Kosmo! Ahad.

Laila berkata, selama setahun keadaan itu berlalu, dia mulai curiga dengan suaminya yang dilihat seolah-olah tidak seperti ‘lelaki sebenar’.

“Setiap kali pulang kampung, dia hanya sekejap di rumah saya, sebaliknya banyak habiskan masa di rumah keluarganya ataupun bersama rakan-rakan di luar. Alasannya, dia tidak selesa tinggal di rumah keluarga saya yang mempunyai ramai adik-beradik.

“Kalau balik ke rumah dia (mentua) pun dia bukan ada di rumah, pasti akan ada rakan yang datang ambil di rumah. Kalau ajak pergi berbulan madu, dia juga akan beri macam-macam alasan,” dedahnya.

Bagaimanapun kata Laila, sisi sebenar suaminya itu terbongkar apabila dia menemui gambar percutian suaminya bersama ‘boyfriend’ di sebuah pulau peranginan di luar negara.

“Gambar itu sungguh meng­aibkan (gambar tanpa pakaian) dan mereka juga ada menyertai parti bersama beberapa pasa­ngan gay lain di pulau berkenaan.

“Hancur hati saya bila melihat gambar tersebut dan akhirnya impian saya untuk bercinta selepas kahwin berkecai dan rumah tangga yang dibina pada tahun 2018 runtuh hanya selepas dua tahun,” katanya yang bercerai tanpa iddah.

Sementara itu, seorang pegawai pemasaran yang mahu dikenali sebagai Aina, 32, berkata, dia mula mengetahui sisi gelap suaminya yang dikenali melalui aplikasi mencari jodoh hanya selepas hampir setahun berumah tangga.

Menceritakan kisahnya, Aina berkata, pada awalnya dia nekad mencari jodoh menggunakan aplikasi tersebut memandangkan usianya yang telah menginjak ke 30 tahun selain sering ditanya soal perkahwinan oleh kedua-dua ibu bapanya.

“Sejujurnya saya memang tidak pernah bercinta. Mahu berkawan dengan lelaki pun jauh sekali kerana saya dulu bersekolah di sekolah perempuan.

“Apabila memasuki alam pekerjaan, memang ibu bapa se­ring tanya bila mahu berkahwin. Dari situ, saya mula menggunakan aplikasi itu yang menawarkan konsep ‘taaruf’. Jadi, memang kali pertama berjumpa, saya terus minta bekas suami jumpa ibu bapa. Tidak lama selepas itu kami setuju berkahwin,” katanya.

Bagaimanapun Aina berkata, angan-angannya untuk melalui fasa bercinta selepas bekahwin mula pudar apabila bekas suaminya mula menunjukkan sikap yang dingin.

“Sebelum kahwin, kami hanya berjumpa tidak sampai lima kali. Jadi, saya kurang tahu bagaimana sikapnya yang sebenar.

“Tidak lama lepas bernikah, saya perasan dia kurang romantis dan susah untuk dia pegang tangan saya. Dia juga enggan tidur sebilik, kalau ada pun mungkin hanya sekali dua,” katanya.

Aina berkata, setiap kali dia membangkitkan isu berkenaan dan bertanya adakah bekas suaminya mahu merancang dahulu sebelum mendapat zuriat, dia tidak mendapat jawapan yang jelas daripada lelaki tersebut.

“Ada beberapa kali kami bertikam lidah mengenai hal anak, kerana saya memang sudah bersedia ketika itu. Saya ada pujuk bekas suami untuk berbincang secara baik tetapi mesti berakhir dengan pergaduhan.

“Sampailah pada satu hari, kami bergaduh besar soal zuriat dan bekas suami seolah-olah terlepas cakap bahawa dia sebenarnya sedang menghidap sifilis. Saya memang terkejut, selepas saya asak bermacam soalan, dia terus mengaku dia ada teman lelaki, malah mengaku berkahwin dengan saya kerana dipaksa ibu bapanya,” katanya.

Susulan daripada kejadian itu, Aina berkata rumah tangga yang baru dibina hampir setahun itu bertemu titik noktahnya kerana bekas suami juga tidak menyatakan hasrat untuk berubah atau mempertahankan perkahwinan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN