Apa pandangan Datuk jika ada yang mengatakan kebanyakan orang yang bergelar ustaz yang mempraktikkan perubatan alternatif atau ‘perubatan Islam’ sebagai penunggang agama dan bertopengkan agama untuk mengaut keuntungan peribadi?
Memang ada golongan yang mengamalkan perubatan alternatif dengan betul dan ikhlas, tetapi kita tidak dapat nafikan wujudnya segelintir pihak merosakkan imej perubatan Islam.
Mereka ini tiada ilmu, yang meneka kaedah mengubati dan mengubat orang menggunakan kaedah salah.
Saya sendiri banyak kali tegur mereka. Kalau nak berubat secara Islam mana boleh buat dengan benda-benda kotor seperti najis. Jadi orang ramai yang nak berubat secara alternatif perlu mencari pengamal perubatan yang mengamalkan doa-doa yang benar.
Jangan cari yang mendakwa mengamalkan perubatan Islam, tetapi kaedah rawatan menggunakan kain kafan dan tanah kubur.
Pernah ada individu yang memberitahu saya, mereka mendapatkan rawatan daripada individu kononnya nak buang saka, namun mengenakan bayaran RM3,000 setiap seorang ahli keluarga.
Bukan itu sahaja, mereka gunakan nama saya untuk melariskan perniagaan.
Jadi apabila terjadi situasi sedemikian, yang menjadi mangsa adalah pengamal perubatan yang ikhlas dan betul.














