Perjalanan hidup setiap orang itu tidak sama. Ada yang memilih untuk menyambung pengajian selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala ada segelintir yang berkorban mencari rezeki membantu menyara keluarga.
Bagi Intan Nursyazwani Anuar, 20, dia memilih untuk keluar dari zon selesa bagi membantu meringankan beban ibu bapanya.
Gadis manis yang berasal Terengganu ini memilih kerjaya sebagai hos siaran langsung sambil membina impian untuk bergelar usahawan muda. Kepada Kosmo! Ahad, Intan Nursyazwani berkongsi perjalanan hidup dan impian masa depannya.
Kosmo! Ahad: Ramai lepasan SPM menyambung pelajaran, kenapa Intan memilih jalan berbeza?
INTAN: Keputusan ini memang berat, tetapi saya buat demi keluarga. Saya tidak mahu menyusahkan ibu bapa. Bagi saya, ini satu bentuk pengorbanan kasih sayang dan tanggungjawab. Bapa saya bekerja sebagai juruteknik, manakala ibu pula adalah suri rumah.
Bagaimana reaksi kedua-dua ibu bapa Intan?
Pada awalnya mereka bimbang, tetapi bila melihat usaha saya mereka mula berikan sokoÂngan. Sekarang mereka menjadi pembakar semangat saya pula. Saya bekerja sebagai live host secara dalam talian. Saya banyak belajar tentang pemasaran dan selok-belok perniagaan.
Mengapa memilih bidang perniagaan?
Saya terinspirasi dengan ramai kenalan yang berjaya berniaga sejak dari muda. Ada yang bermula dari bawah. Saya juga menyertai kelas bisnes sekiranya mempunyai masa yang terluang.

Berapa pendapatan sebagai live host?
Pendapatan yang diraih lebih RM4,000 sebulan.
Siapa Intan lima tahun akan datang?
Insya-Allah, memiliki perniagaan sendiri, stabil dari segi kewangan dan dapat membantu keluarga.
Kisah yang tidak boleh Intan lupakan?
Saya hilang adik lelaki ‘istimewa’ empat tahun lalu akibat lemas. Pemergiannya memberikan kesan emosi buat saya dan keluarga, tapi kami perlu terus kuat.
Perkara menarik tentang diri Intan?
Saya sukakan aktiviti lasak seperti larian marathon, mendaki dan berkhemah.
Ciri-ciri lelaki idaman?
Si dia mestilah bertanggungjawab, matang, jujur, mempunyai matlamat hidup dan penyayang.
Pesanan buat orang muda?
Fokus pada diri dan jangan terlalu mengejar cinta. Baiki kelemahan, kenali potensi dan usaha sampai jadi. Lagi satu jangan pernah menyerah. Selalu jadi versi terbaik untuk diri sendiri walau apapun cabaran mendatang.






