PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada seorang ibu tunggal, Azizah Mahmood yang hidup serba daif di Kampung Tebing Tinggi, Balok, Kuantan, Pahang.
Sumbangan berkendan disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi semasa melawat kediaman wanita itu dalam kerangka Ziarah Madani.
Ahmad Farhan berkata, ibu kepada lima orang anak itu turut menderita kanser usus yang memerlukan rawatan berterusan dan suplemen bulanan.
“Dengan hanya mengharapkan pendapatan sebagai tukang cuci, beliau berhempas-pulas menyara keluarga, memastikan dapur terus berasap dan anak-anak tidak putus harapan.
“Saya hadir menyantuni beliau mewakili YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menyampaikan sumbangan serta mendengar sendiri keluh kesahnya,” katanya dalam satu catatan di Facebook hari jni.
Menurut Ahmad Farhan, kerajaan sedang meneliti bentuk bantuan baik dari segi kesihatan mahupun pembaikan rumah yang boleh disegerakan kepada keluarha tersebut.
“Doa saya agar Puan Azizah terus diberi kekuatan dan kesembuhan. Semoga segala urusan beliau dan anak-anak dipermudah oleh Allah SWT. Insya-Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE