PETALING JAYA – Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memfailkan Permohonan Semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan fatwa ke atas Sisters In Islam (SIS).
Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, langkah itu penting bagi mengatasi isu penyelewangan akidah yang dibuat oleh organisasi seperti yang pernah berlaku ke atas Al-Arqam dan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH)
“Amanah juga melihat bahawa kes ini telah diputuskan secara majoriti (dissenting) sama ada di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan dan dengan itu wajar dan mempunyai merit untuk disemak semula,” katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.
Muhammad Faiz berkata, amanah turut mencadangkan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa bersama
bagi mengkaji kesan keputusan mahkamah tersebut.
Menurut beliau, kajian yang turut disertai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa agama negeri itu perlu dilakukan memandangkan keputusan tersebut dibuat oleh mahkamah tertinggi dalam negara.
Ujar beliau, kajian itu termasuk mencadangkan meminda Perlembagaan Persekutuan supaya kuasa pihak berkuasa agama Islam juga terpakai ke atas pertubuhan sama ada persatuan atau syarikat.
“Ia supaya kedudukan agama Islam diperkasakan selaras dengan keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE