JOHOR BAHRU – Tempoh waktu menunggu bagi mendapatkan rawatan kesihatan khususnya di klinik pakar dan poliklinik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dijangka akan dikurangkan melalui penggunaan kod respon pantas (QR) iaitu Smart Queue System (SQS).
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sistem tersebut merupakan yang pertama di Malaysia dan dibangunkan sepenuhnya atas inisiatif kerajaan negeri dengan peruntukan RM1 juta.
Katanya, sistem tersebut akan mula diguna pakai secara berperingkat bermula 1 Julai depan.
“Sebelum ini pesakit perlu datang awal dan beratur untuk mendapatkan nombor, satu untuk menerima rawatan satu lagi untuk mendapatkan ubat di farmasi.
“Melalui sistem ini, mereka hanya perlu scan QR bagi mendapatkan satu nombor, dan nombor itu akan digunakan untuk kedua-dua perkhidmatan iaitu berjumpa doktor dan juga mengambil ubat,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke hospital tersebut, di sini hari ini.
Sementara itu, Tian Soon pula memberitahu, melalui sistem tersebut pesakit yang mahu mendapatkan rawatan boleh menunggu di kawasan lebih selesa terlebih dahulu.
“Sistem ini akan mengurangkan tempoh waktu pesakit beratur, pesakit juga hanya perlu mendapatkan satu nombor dan mereka boleh menunggu di kafetaria atau di dalam kereta kerana notifikasi akan diberikan menerusi telefon bimbit,” jelasnya.
Tambah Tian Soon, kad temujanji fizikal pesakit masih digunakan, tetapi kebergantungan kepadanya akan dikurangkan sebaliknya semua butiran akan dimasukkan dalam SQS.
“Kita masih guna kad, tetapi aplikasi ini akan berikan notifikasi. Ia lebih mudah dan menjimatkan masa,” ujarnya lagi.-KOSMO! ONLINE