JEMPOL – Dua penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan tiga buah kenderaan di kilometer 17, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.58 malam itu, kemalangan membabitkan dua buah motosikal jenis Honda C100B dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, pemandu kereta iaitu lelaki berusia 46 tahun dalam perjalanan dari arah Simpang Pertang menghala ke Bahau.
“Setibanya di lokasi kejadian, pemandu kereta tersebut dipercayai telah melanggar belakang sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki warga pakistan berusia 44 tahun yang bekerja sebagai penjual roti.
“Warga Pakistan itu kemudian hilang kawalan, terbabas dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar sebuah lagi motosikal dari arah bertentangan yang ditunggang seorang lelaki berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.
“Akibat kemalangan itu, kedua-dua penunggang motosikal yang parah di kepala serta kaki meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE