KUALA LUMPUR – Vietnam dijangka bergerak seiring dengan pasukan Asia Tenggara lain apabil memburu pemain warisan atau bintang naturalisasi berkualiti bagi meneruskan saingan kelayakan Piala Asia 2027 selepas ini.
Ketika ini wujud gesaan kepada Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) supaya mengambil langkah drastik bagi mengelak aib besar memandangkan skuad Naga Emas tu sering dilabel sebagai gergasi bola sepak di rantau ASEAN.
Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar percaya bukan sesuatu yang mustahil sekiranya Vietnam mencari jalan terbaik termasuk mendapatkan tambahan pemain warisan atau naturalisasi berkualiti seperti dilakukan Harimau Malaya.
“Tidak mustahil Vietnam akan ikut cara Harimau Malaya, kita ambil pemain warisan kelas A dan mereka juga mungkin akan usaha dapatkan pemain yang gred A. Bukan saja nak lawan Malaysia, tapi mereka juga nak lawan negara lain.
“Perlawanan pada Mac tahun depan (menentang Malaysia) adalah penentu dan sudah pasti Vietnam tidak mahu dikecewakan di tempat sendiri. Jadi Harimau Malaya harus bersedia sepenuhnya dan berwaspada kerana Vietnam akan bangkit.
“Bagaimanapun, saya percaya barisan kejurulatihan Harimau Malaya sekarang akan membuat perancangan rapi seperti yang dilakukan ketika menewaskan Vietnam 4-0,” katanya.
Media di Vietnam juga mencadangkan kepada pengurusan VFF supaya mendapatkan pemain warisan atau naturalisasi berkualiti sebagai langkah segera untuk meningkatkan kualiti semasa pasukan.
Sebagai rekod, Vietnam kini memiliki dua bintang naturalisasi iaitu Nguyen Xuan Son (Brazil) dan Cao Pendant Quang Vinh (Perancis) selain beberapa pemain warisan seperti Viktor Le yang dilahirkan di Rusia, Dang Van Lam (Rusia) dan Filip Nguyen (Republik Czech). – KOSMO! ONLINE