PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan serangan Israel ke atas Iran ketika ini sebagai suatu tindakan yang zalim dan berat sebelah.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, peperangan yang dimulakan Israel itu kononnya mahu menghentikan pembangunan senjata nuklear oleh Iran.
“Ia (serangan ke atas Iran) sesuatu yang zalim kerana negara regim Zionis itu sendiri bebas membangunkan senjata nuklear sendiri.
“Saya anggap (serangan Israel ke atas Iran) amat zalim, sementara Iran tidak boleh membangunkan bom atom, tetapi Israel dibolehkan pula.
“Israel yang ganas, sepatutnya kalau mahu dikenakan tindakan, kedua-dua negara tak boleh (membangunkan senjata nuklear)…ini berat sebelah…tiada keadilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran buku karya terbaharu, Addeen yang disempurnakan bekas Mufti Wilayah Persekutuan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas konflik terbaharu serangan Israel ke atas Iran yang kini memasuki hari ketiga.
Ditanya sejauh mana perang antara Israel dan Iran ketika ini akan mempengaruhi situasi geopolitik khususnya di rantau Asa Barat, Dr. Mahathir menjangkakan perang tersebut akan berlanjutan.
“Saya dapati Israel turut mendapat sokongan termasuk dari sudut ketenteraan daripada Amerika Syarikat (AS).
“Sekarang ini AS memberi bantuan dengan senjata dan sebagainya (kepada Israel)…dan kalau Iran cuba melawan balik, AS akan bekal lebih banyak senjata, bahkan mungkin akan berperang dengan Iran,” katanya. -KOSMO! ONLINE.