KUCHING – Tujuh pemancing diselamatkan oleh sebuah kapal dagang selepas bertarung nyawa di lautan apabila bot mereka karam di perairan utara Tanjung Po, petang semalam.
Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata kejadian dilaporkan kepada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching pada pukul 4.45 petang oleh Lembaga Pelabuhan Kuching selepas menerima isyarat awal melalui radio daripada kapal dagang MTT Lumut pada pukul 4.23 petang.
“Sebuah bot pancing dilaporkan karam kira-kira 10 batu nautika dari utara Tanjung Po.
“Kesemua tujuh pemancing yang berada di atas bot tersebut berjaya diselamatkan oleh kapal MTT Rajang yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Menjelas lanjut, beliau berkata bot tersebut dipercayai karam kira-kira pukul 11 pagi berpunca daripada kebocoran di bahagian bilges (ruang takungan bawah kapal).
Sejurus menerima maklumat, Khairi berkata Maritim Sarawak mengatur gerak Bot KILAT 35 ke lokasi pertemuan dengan MTT Rajang untuk mengambil kesemua mangsa dan membawa mereka ke daratan.