JIKA anda mencari lokasi terbaik untuk meraikan insan istimewa atau keluarga, Bienz adalah jawapannya.
Gabungan cita rasa yang memikat selera, suasana selesa dengan rekaan dalaman eksklusif menjadikan kafe itu semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat ‘kafe hipster’.
Kafe yang beroperasi di Sunway Avila Avenue, Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur itu diasaskan oleh tiga beradik iaitu Razdan Fiqrul Jamir Ridzuan, 26, Raffzan Jamir Ridzuan, 33, dan Raffil Faizul Jamir Ridzuan, 31.
Kafe yang memulakan operasi pada September tahun lalu itu bukan sahaja menyajikan menu istimewa, malah menampilkan ruang makan kontemporari yang terlihat moden meskipun minimalis.
Menurut Raffzan, idea membuka kafe itu tercetus ketika perbualan santai dia dan dua adiknya di sebuah premis makanan untuk urusan kerja.
“Kami selalu cakap, kalau ada kafe sendiri tentu lebih menarik dan mudah kerana boleh mengadakan pertemuan dengan pelanggan di kedai sendiri.
“Dari situlah impian bermula dan alhamdulillah ‘sembang kosong’ itu menjadi realiti. Kini kami sudah hampir setahun beroperasi,” tuturnya kepada CitaRasa.
Menampilkan menu istimewa dengan ciri fusion keluarga, Bienz terkenal dengan hidangan ala Itali yang diberi sentuhan Melayu.
Antara hidangan paling laris adalah piza kambing iaitu the lamb delight pizza, Bienz golden wagyu pizza dan creamy buttermilk pasta, sekali gus menjadi menu utama premis.
Sementara minuman yang sering mendapat perhatian adalah tiramisu latte dan strawberry matcha.

Kata Raffzan, bahan-bahan digunakan berkualiti tinggi, dan setiap resipi diinspirasikan daripada pengalaman kulinari keluarga yang gemarkan sajian daging wagyu.
“Doh piza kami gunakan teknik sourdough yang diperam semalaman bagi memberikan tekstur lebih rangup di luar dan lembut di dalam.
“Biarpun menu ke arah Barat, tetapi kami tetap menerapkan cita rasa Melayu dengan meletakkan hirisan cili pada bahagian tengah piza.
“Selain mencantikkan, hiasan itu juga menjadi penyedap rasa piza. Apabila ada rasa pedas, ini menjadikan sajian lebih dekat dengan selera tempatan,” katanya.
Secara ringkasnya, kafe tersebut menawarkan pelbagai pilihan piza dan pasta selain hidangan signatur mereka.
Antara pilihan lain adalah smoked salmon pizza, pepperoni pizza, aglio olio, bolognese, barbonara dan Hawaiian chicken pizza.
Penulis juga berpeluang menikmati tiga menu signatur kafe tersebut dan ternyata hidangan di Bienz mempunyai tarikan tersendiri.
Ini kerana, rasanya bukan saja enak, malah memiliki kesenian gastronomi autentik.
Sementara itu, berkongsi tentang sejarah nama kafe terbabit, Raffzan memberitahu, Bienz diambil daripada perkataan Jerman.
Ujarnya, Beinz membawa maksud individu yang pantas bertindak dan tidak melepaskan peluang.
Perkara itu selari dengan semangat tiga beradik berkenaan dalam usaha merealisasikan impian mereka.
Kafe tersebut dibuka setiap hari dari pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam, manakala sehingga pukul 1 pagi pada setiap hujung minggu.
Waktu operasi hari Jumaat pula bermula pada pukul 3 petang.
Sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan, terdapat pakej kombo dua piza wagyu yang boleh didapati pada harga RM150.
Ini membolehkan pelanggan menikmati penjimatan hampir RM30 berbanding membuat pesanan secara berasingan.
Terdapat juga barisan pencuci mulut enak seperti Nutella cheesecake, brownie missyou bliss, ter-miss-u, chocolate batik indulgence cake dan Biscoff cheesecake.














